MAJLIS RAJA-RAJA


Persidangan Durbar


Majlis Raja-raja bukan sahaja agung tetapi unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila Negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan adalah seperti Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan - peruntukan Jadual Ketiga, Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan, Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan ini memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182 dan memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar Imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.


            Apabila Majlis Raja-raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Y.A.B Perdana Menteri dan Raja-raja yang lain dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka. Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemulian atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-raja.


            Majlis Raja-raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).


            Majlis Raja-raja juga melantik seorang wakil untuk menganggotai Majlis Angkatan Tentera, menurut Perkara 137 Perlembagaan, seorang wakil sebagai Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa & Pustaka menurut Akta yang berkenaan.



JOM TEROKA!!
-Konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
-Maksud Parlimen
-Maksud Pilihan Raya
-Kuasa Pemerintahan
-Raja Berperlembagaan
-Bidang Kuasa Yang Di-Pertuan Agong

No comments:

Post a Comment