Mengikut Perkara
32(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong telah diwujudkan pada tahun 1957. Jawatan ini
adalah lambang perpaduan rakyat Negara Malaysia. Peraturan perlantikan Yang
di-Pertuan Agong termaktub dalam Jadual III Perlembagaan Persekutuan. Semua
Raja Melayu layak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong; kecuali Raja yang
tidak cukup umur, tidak mahu dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, atau
difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi sulit atas sebab
keuzuran akal dan badan atas sebab yang lain. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong
diadakan lima tahun sekali. Majlis Raja-Raja Melayu yang terdiri daripada
sembilan orang Sultan berkuasa melantik Yang di-Pertuan Agong.
Mengikut Perkara
150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk
menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Perlembagaan Persekutuan
juga telah membekalkan peruntukan khas yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong memelihara
dan melindungi hak dan kedudukan istimewa Orang Melayu dan kaum pribumi Negeri
Sabah dan Sarawak. Selain dari kuasa yang telah disebutkan, Yang di-Pertuan
Agong juga memiliki kuasa istimewa untuk melantik Peguam Negara, Hakim-Hakim
Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan
Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan
Tentera Persekutuan. Dengan kedudukan ini, baginda berkuasa untuk menghukum dan
mengampun kes yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera. Perlembagaan
Persekutuan juga telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk
mengampunkan pesalah-pesalah tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai
bidang kuasa yang luas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Ia dapat
dilihat melalui 3 badan pentadbiran Negara. Iaitu:
BADAN EKSEKUTIF
Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada
Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam
Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim
baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri. Walaupun
bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas
cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan
Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu
Melantik seorang Perdana Menteri, Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan
membubarkan Parlimen, Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata
mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil
tindakan dalam mesyuarat itu
BADAN PERUNDANGAN
Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada
Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis, iaitu Dewan
Negara dan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian komponen Parlimen
mempunyai kuasa berikut seperti Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke
semasa, Memberhentikan dan membubarkan Parlimen, Memberi ucapan dalam mana-mana
majlis Parlimen, Memperkenankan Rang Undang-Undang.
Yang Di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik
dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk
Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40
orang senator lain.
BADAN KEHAKIMAN
Yang di-Pertuan
Agong mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antaranya :
Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah
Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di
Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis
Raja-Raja.
Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai
Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa
sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding
dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum
pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).
Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur
lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam
bulan setelah mencapai umur 65 tahun.
Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana
Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri,
mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkirkan
seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu. Selepas menerima
representasi itu, Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk
memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim
dari jawatannya. Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda
untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau
mengekalkan hakim.
Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150
Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila
berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan,
kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam
keadaan terancam.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa
Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan
yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri
berkenaan. Baginda juga adalah Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi
Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis
Agama Islam Negeri berkenaan. Di Sabah dan Sarawak, kuasa pelantikan diturunkan
kepada Yang Dipertua Negeri. JOM TEROKA!!
-Konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
-Maksud Parlimen
-Maksud Pilihan Raya
-Kuasa Pemerintahan
-Majlis Raja-Raja
-Raja Berperlembagaan
-Konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
-Maksud Parlimen
-Maksud Pilihan Raya
-Kuasa Pemerintahan
-Majlis Raja-Raja
-Raja Berperlembagaan
No comments:
Post a Comment